Berapa lamakah tempoh pengesahan pendaftaran Pemilih Baru dan pertukaran alamat Bahagian Pilihan Raya?

Proses keseluruhan pengesahan Daftar Pemilih ini akan mengambil masa selama empat (4) bulan mulai bulan pertama setiap suku tahun. Urusan pendaftaran pemilih baru bermula apabila seseorang warganegara yang layak di bawah Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan membuat permohonan kepada SPR dengan mengisi Borang A. Selepas Borang A melalui proses pendataan, SPR akan menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) mengikut empat (4) suku tahun dengan suku tahun pertama (Januari- Mac), Suku Kedua (April-Jun), Suku Ketiga (Julai-September) dan Suku Keempat (Oktober-Disember). RDPT itu seterusnya akan dipamerkan untuk tujuan tuntutan dan bantahan. Apabila urusan tuntutan dan bantahan selesai, Pendaftar di setiap negeri membuat pemerakuan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) kepada Ketua Pendaftar di Ibu Pejabat SPR yang kemudiannya akan mengemukakannya kepada SPR untuk disahkan dan diwartakan.

Leave a comment