Ruang ini akan menerangkan secara ringkas proses pilihan raya bermula dari pembubaran Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga penjumlahan rasmi undi seterusnya pengumuman keputusan oleh SPR.
Proses Pilihan Raya
Proses Pilihan Raya
Proses Pilihan Raya
Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang akan terbubar dengan sendirinya setelah 5 tahun bermula daripada persidangan pertama Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali sekiranya dewan dibubarkan lebih awal.
SPR Terima Pemakluman Rasmi Daripada Speaker
Setelah pembubaran dewan rakyat, SPR akan menunggu pemakluman rasmi daripada speaker menyatakan dewan rakyat telah di bubarkan maka tidak kurang 4 hari dan tidak lebih 10 hari SPR akan mengadakan mesyuarat khas.
Mesyuarat Khas SPR
Mesyuarat Khas SPR adalah bertujuan untuk menentukan tarikh-tarkh penting Pilihan Raya yang telah ditetapkan seperti:
– Tarikh Hari Penamaan Calon;
– Tarikh Hari Undi Awal; dan
– Tarikh Hari Mengundi.
Pegawai Pengurus Terima Writ Daripada SPR
Setelah mengadakan mesyuarat khas dan menentukan tarikh-tarikh. SPR akan melantik Pegawai Pengurus melalui Writ. Writ Pilihan Raya adalah surat kuasa yang dikeluarkan oleh SPR kepada Pegawai Pengurus untuk melaksanakan pilihan raya umum atau pilihan raya kecil apabila berlaku kekosongan di bahagian pilihan raya berkenaan.
Pegawai Pengurus Keluar Notis
Setelah dilantik Pegawai Pengurus akan mengeluarkan suatu NOTIS PEMBERITAHUAN kepada orang ramai tentang kekosongan Dewan Rakyat/DUN dan pelawaan untuk penamaan calon bagi mengisi kerusi tersebut. Notis mengandungi butiran masa dan tempat penamaan calon. Notis perlu di tampal di tempat-tempat awam yang mudah dilihat.
Penamaan Calon
Penamaan Calon adalah suatu hari yang ditetapkan bagi membolehkan mana-mana rakyat yang layak dan ingin menjadi Calon untuk bertanding Hadir bersama Pencadang dan Penyokong bagi menyerahkan kertas penamaan kepada Pegawai Pengurus antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Kempen
Setelah diumumkan suatu bahagian pilihan raya itu dipertandingkan Calon-calon boleh mula berkempen dan berakhir pada jam 12 tengah malam sebelum hari mengundi. Kempen dipantau oleh Pasukan Penguat kuasa kempen Pilihan Raya.
Pengundian Awal
Pengundian Awal akan dijalankan tidak kurang daripda 3 hari sebelum Hari Mengundi. Pengundian awal melibatkan :
– Polis
– Tentera dan Pasangan
– PGA dan Pasangan
Mana-mana orang yang tidak dapat hari pengundian awal kerana bertugas pada hari mengundi boleh memohon untuk mengundi secara pos
Pengundian
Hari mengundi adalah Hari yang telah ditetapkan oleh SPR untuk pemilih yang berdaftar di bahagian pilihan raya yang telah ditetapkan untuk mengundi dijalankan dan berakhir apabila keputusan pilihan raya diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus
Penjumlahan Rasmi Undi / Keputusan
Pegawai Pengurus di bahagian pilihan raya masing-masing akan menjumlah undi yang diterima daripada Ketua Tempat Mengundi dan Penolong Pengurus Pengundian Pos dan mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi bahagian pilihan raya masing-masing.
Setelah mendapat keputusan rasmi daripada semua bahagian pilihan raya di semua negeri, SPR disuatu tempat yang ditetapkan bagi tujuan mengumumkan keputusan pilihan raya seterusnya mengisytiharkan parti yang mendapat majoriti mudah/ dua pertigas untuk membentuk kerajaan.
Peralatan Pilihan Raya
Dalam melaksanakan pilihan raya, SPR akan memastikan peralatan-peralatan yang digunakan semasa piihan raya adalah mencukupi. Kenali peralatan-peralatan ini disini
Siapa Petugas Pilihan Raya ?
Petugas Pilihan Raya ada yang dilantik oleh SPR, ada juga dilantik oleh Pegawai Pengurus. Bagi pihak parti yang bertanding, Calon atau Ejen Pilihan Raya juga boleh melantik petugas dikalangan mereka untuk memerhati penjalanan pengundian memastikan ianya mematuhi peraturan yang ditetapkan
Dilantik oleh SPR
Pegawai Pengurus adalah seseorang pegawai yang dilantik oleh SPR mengikut Seksyen 3(c) Akta Pilihan Raya 1958 bagi mengendalikan pilihan raya dalam sesuatu bahagian pilihan raya yang ditetapkan.
Penolong Pegawai Pengurus adalah seseorang pegawai yang dilantik oleh SPR mengikut Seksyen 3(c) Akta Pilihan Raya 1958 bagi mengendalikan pilihan raya dalam sesuatu bahagian pilihan raya yang ditetapkan.
Dilantik oleh Pegawai Pengurus
Ketua Tempat Mengundi adalah seorang petugas pilihan raya yang dilantik oleh Pegawai Pengurus bagi tujuan mengetuai sesuatu tempat mengundi (saluran) dan mengendalikan proses pengundian dan pengiraan undi. KTM juga menyelia beberapa orang petugas dibawahnya iaitu Kerani Pengundian ( KP ) / Kerani Mengira Undi ( KMU ).
Kerani Pengundian adalah seseorang yang dilantik oleh Pegawai Pengurus bagi membantu Ketua Tempat Mengundi (KTM) dalam urusan pengundian di tempat mengundi (saluran).
Kerani Mengira Undi (KMU) adalah seseorang yang dilantik oleh Pegawai Pengurus bagi membantu ketua tempat mengundi (KTM) dalam urusan pengiraan undi di tempat mengira undi.”
Penyelia Pusat Mengundi (PPM) adalah seseorang yang dilantik oleh Pegawai Pengurus bagi tujuan menyelia sesuatu pusat mengundi semasa pilihan raya dijalankan.
Dilantik oleh Calon bertanding atau Ejen Pilhan Raya
Ejen Pilihan Raya adalah seseorang yang dilantik oleh calon bagi mewakili dirinya untuk menjalankan semua urusan berhubung dengan pilihan raya di mana calon itu bertanding. Ejen Pilihan Raya mempunyai kuasa yang sama seperti Calon, boleh melantik Ejen Pemerhati Barung, Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi termasuk juga Ejen Undi Pos
Ejen Tempat Mengundi seorang yang dilantik oleh Calon atau Ejen Pilihan Raya bagi mewakili calon untuk memerhatikan proses pengundian supaya ia berjalan mengikut undang – undang dan peraturan – peraturan yang ditetapkan.
Ejen Mengira Mengundi seorang yang dilantik oleh Calon atau Ejen Pilihan Raya bagi mewakili calon untuk memerhatikan proses pengiraan undi supaya ia berjalan mengikut undang – undang dan peraturan – peraturan yang ditetapkan.
Ejen Pemerhati Barung adalah seorang yang dilantik oleh calon atau ejen pilihan raya bagi mewakili calon untuk memerhatikan pelaksanaan proses semakan oleh kerani penyemak daftar pemilih (KPDP) mengikut buku daftar pemilih atau melalui komputer berjalan mengikut undang – undang dan peraturan – peraturan yang ditetapkan.
Borang 14?
Borang 13, Borang SPR.757, Borang SPR.764 dan Borang 14
adalah borang-borang yang penting untuk dilengkapkan semasa proses pengundian dan pengiraan undi. Kenali borang-borang yang digunakan sepanjang pengurusan pengundian
Proses Pilihan Raya
Borang 13 adalah Penyata Kertas Undi yang merekodkan maklumat awal buku-buku kertas undi. Bilangan kertas undi yang diterima dan bilangan kertas undi yang dikeluarkan setelah tempat mengundi ditutup. Borang ini BOLEH ditandatangani oleh Ejen Tempat Mengundi tetapi TIDAK BOLEH diberikan salinan.
Borang SPR.757 adalah borang Catatan Bilangan Pengesahan Kertas Undi
yang menyatakan Bilangan Kertas Undi yang terdapat di dalam Peti Undi.
Bilangan ini akan dibandingkan dengan bilangan kertas undi di Borang 13 Para E.
Borang SPR.764 adalah Penyata Awal Pengiraan Undi
Borang 14 adalah keputusan rasmi saluran yang perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) untuk direkodkan dan dikumpulkan bersama-sama saluran-saluran yang lain untuk mendapatkan keputusan bagi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di kawasan tersebut.
Isu-isu dan Cabaran
sejak ditubuhkan SPR telah melaksanakan sebanyak 14 kali PRU, 11 kali PRU Negeri,
lebih daripada 150 kali PRK. 60 tahun penubuhannya, SPR kekal relevan dan sentiasa
berusaha menambahbaik proses dan prosedur pilihan raya demi untuk rakyat dan negara.
Proses Pilihan Raya
Pengisytiharan Keputusan Pilihan Raya oleh SPR lambat?
Perkara 25(F) Peraturan-peraturan Penjalanan Pilihan Raya 1981 menyatakan
...jika parti politik itu telah memperoleh suatu majoriti melebihi LIMA PULUH PERATUS daripada jumlah kerusi yang diperuntukkan bagi pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri itu.
Pada PRU-14 yang lepas, sehingga 4 pagi 10 Mei 2018, tidak ada satu parti pun mendapat majoriti melebih 50 peratus yang membolehkan SPR membuat pengisytiharan. Berbanding pada PRU-13, pada jam 12.40 malam pada hari 6 Mei 2013, parti Barisan National telah mendapat majoriti 50 peratus iaitu 112 kerusi parlimen yang membolehkan SPR mengisytiharkan parti politik yang menang.
Cara Penandaan Kertas Undi
Tak payah pening-pening nak memikir bagaimana nak menanda kertas undi, memadai pengundi menanda hanya kepada satu calon dengan tandaan ``X`` diruang yang disediakan sebelah logo parti seperti contoh di atas. Tanda ``X`` itu penuh ruang ke, separuh penuh ke atau kecil sahaja di dalam kotak itu tidak menjadi masalah, yang penting, PENGUNDI MENANDA HANYA SATU CALON. Elakkan menulis dengan perkataan atau nombor atau melukis di atas kertas undi kerana ia boleh menyebabkan kertas undi anda DITOLAK.
Kesesakan di Tempat Mengundi?
Hanya melibatkan tempat mengundi tertentu di beberapa pusat mengundi. Antara faktor yang mempengaruhi adalah:
1. Kecekapan petugas adalah berbeza
2. Bantah/permintaan/teguran Ejen Tempat Mengundi
3. Faktor Pengundi
Penambahbaikan:
Latihan Intensif kepada Petugas SPR dan Ejen serta Pengurangan jumlah pengundi dalam saluran dari 700 kepada 600
Kenapa Hari Rabu?
Penetapan tarikh mengundi ditentukan oleh SPR dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen dan DUN atau bila berlakunya kekosongan kerusi.
Pengundi Yang Telah Meninggal Dunia?
SPR mengeluarkan nama-nama mereka yang telah meninggal dunia daripada daftar pemilih berpandukan kepada rekod kematian yang diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pengemaskinian dilakukan sebanyak 4 kali setahun (mengikut suku). Sekiranya waris tidak mendaftarkan kematian kepada JPN atau JPN tidak mengemaskini rekod nama mereka yang meninggal dunia, nama mereka tidak akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih Pilihan Raya.
Siapakah yang memerhati proses pengundian dan pengiraan undi selain Petugas SPR?
Selain Petugas SPR seperti Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian/Kerani Mengira Undi, setiap calon dibenarkan melantik seorang Ejen Tempat Mengundi (semasa pengundian) dan Ejen Mengira Undi (semasa pengiraan) untuk memerhati proses pengundian dan pengiraan undi memastikan ianya mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Benarkah wujud pengundi hantu?
Seseorang pengundi hanya boleh mengundi sekiranya namanya terdapat di dalam Buku Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPRR). Seorang pengundi yang memilih untuk mengundi ditempat ia bermastautin (seperti alamat yang tertera di Kad Pengenalan) boleh mengundi dikawasan itu walaupun ia tidak lahir atau dibesarkan di bahagian pilhan raya itu. Sebagai contoh. Lina yang berasal daripada Sabah, telah bertugas di Putrajaya selama 12 tahun, lina telah mendaftar sebagai pengundi di Bahagian Pilihan Raya Parlimen Putrajaya kerana beliau telah membeli rumah di Putrajaya dan menetap di Putrajaya. Lina adalah pengundi yang sah disisi undang-undang di Parlimen Putrajaya, walaupun Lina berasal daripada Sabah.
Pengundi Sah vs Pengundi Tidak Sah?
Ketika semakan nama, Kerani Pengundian akan membandingkan wajah pengundi dengan gambar yang tertera pada dokumen pengenalan diri. Ejen Tempat Mengundi yang ditempatkan bertentangan dengan pintu masuk tempat mengundi akan membuat pengecaman terhadap pengundi yang hadir.
Kenapa Dakwat Pilihan Raya dicelup sebelum diberikan kertas undi?
Pengunaan dakwat pilihan raya adalah bertujuan untuk mengelakkan pengundian dua kali. Seseorang pengundi yang ingin mengundi perlu dicelupkan dahulu jari telunjuk kirinya dengan dakwat pilihan raya barulah boleh diberikan kertas undi.
40,000 pengundi bangla?
Salah satu syarat pengundian adalah seseorang pengundi perlu membawa pengenalan identiti. Kad Pengenalan adalah kaedah pengenalan identiti seorang pengundi sebelum dia dibenarkan mengundi. Secara logiknya bagi kes seperti ini, adalah sesuatu yang mustahil seseorang yang bukan warganegara memiliki kad pengenalan untuk hadir mengundi. Sehingga ke hari ini, tidak ada satu saman dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia. Isu ini dimomok-momok oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempengaruhi rakyat agar percaya bahawa SPR menipu. Isu ini adalah fitnah semata-mata.
Kertas Undi Palsu?
SPR mengunakan material kertas undi yang unik dan tidak ada dijual untuk pasaran umum. Kertas undi juga memiliki ciri-ciri keselamatan yang unik seperti cap keselamatan kertas undi dan nombor siri sebagai kawalan bagi memastikan ianya tidak boleh ditiru oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
BLACKOUT?
PRU-13, SPR dikejutkan dengan isu Blackout semasa pengiraan undi. Hakikatnya gambar yang diviralkan itu adalah lakonan semula pihak-pihak yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab yang tidak memahami SOP serta tatacara kerja SPR dalam melaksanakan tugas. Kerana ternyata di dalam gambar tersebut wartawan dan jurugambar berada di dalam saluran yang mana tidak dibenarkan. Dulang-dulang yang digunakan juga tidak menyerupai peralatan sebenar yang digunakan oleh SPR.